Setiap kali menjelang Ogos dan September, rakyat Malaysia
diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu semangat
cintakan negara. Melalui semangat cintakan negara akan dapat membentuk ke arah
pembina negara bangsa yang bersatu padu.
Matlamat dan wawasan membina Malaysia sebagai sebuah negara
maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah berasaskan kepada penyatuan dan
perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila transformasi ini berlaku
kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan.
Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema penting yang
mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini mencapai
kemerdekaan hampir 58 tahun yang lalu.
Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa
yang kritikal seperti globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme
baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan
sebagainya.
Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita bahawa negara ini
lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di negara ini. Selain
itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan kita kepada negara
yang kita cintai.
Setiap rakyat yang cintakan negaranya pasti berfikir dan
merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 55 tahun lalu. Untuk
mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir
dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara.
Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepada
kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan
kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di
peringkat sekolah rendah dan menengah.
Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta
kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di
perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui semangat ini
rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa setiap rakyat.
Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan politik. Kemerdekaan
adalah lambang kedaulatan sesebuah negara.
Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua
golongan rakyat dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara.
Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab
setiap rakyat.
Kesetiaan pada raja dan negara yang ditunjukkan oleh
warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang
sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda
khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepada
kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cintakan negara ini harus
mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan
semakmur Malaysia.
Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa
generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan,
cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat yang
patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.
Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar
pembangunan manusia iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan,
hubungan diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha
haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara
yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan
satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah
itu.
Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-58 dan
Hari Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan lagi dalam hati
setiap rakyat negara ini. Ini mencerminkan jiwa patriotik dan perasaan
seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua dan muda
mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat cintakan negara. Tema pada
tahun ini "Janji Ditepati" tak perlulah dipertikaikan lagi.
Pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk
menerapkan semangat cintakan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang
murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima
diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan mengibarkan
Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan kemerdekaan negara.
Golongan muda seharusnya mengambil contoh dan teladan
pejuang kemerdekaan dahulu selain Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman
Putra yang gigih serta mempunyai semangat cintakan negara terdapat juga tokoh
lain yang turut berjuang ke arah kemerdekaan. Hal ini penting untuk mereka
ambil berat kerana mereka merupakan pewaris Negara kelak. Kalau bukan kita sebagai
pewaris Negara yang menjaga Negara kita , siapa lagi? Kesedaran mengenai
semangat patriotism haruslah sentiasa menebal dan dipupuk dalam diri kita.
Membina bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula
dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat
cintakan negara.
Remaja adalah aset terpenting negara. Penerapan semangat
patriotisme iaitu rasa cinta akan negara mestilah dilakukan untuk membina
negara bangsa. Memupuk semangat cintakan negara tidak seharusnya bergantung
pada wahana sejarah semata-mata. Ini boleh dilakukan melalui mata pelajaran
lain melalui penerapan nilai murni dan semangat cintakan negara.
Pemupukan jati diri kepada pelajar mestilah bermula daripada
rasa cinta dan sayangkan negara. Negara ini adalah tanah tumpah darah yang
mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara memupuk semangat
patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu.
Menerapkan kesedaran patriotisme mestilah melalui pendidikan
dan kesedaran terhadap tanah air. Patriotisme juga tidak dapat dipisahkan
daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan berdaulat itu
benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan juga dengan
identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa kebangsaan
yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan di sekolah
terutamanya di IPT kerana ketika ini mereka sedang dalam peringkat melangkah ke
alam dewasa. Bersama-sama lah kita berusaha memainkan peranan masing-masing
untuk memantapkan lagi semangat cintakan Negara yang telah lama wujud dalam
diri rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment